Beberapa hari lepas, aku berada di Kuala Lumpur. Tiga orang murid aku menyertai pertandingan Felda Robo & Novate 2025. Suasana yang penuh debaran, satu pengalaman yang rakan-rakan guru aku siapkan.
Aku masih ingat detik-detik kemenangan sekolah kami. Macam nak meletup dada kami di luar gelanggang. Apabila nama sekolah kami disebut sebagai juara, tanpa sedar air mata gembira mengalir. Kami tidak pulang tangan kosong kali ini. Saat itu, segala penat dan kos yang dilaburkan terasa berbaloi.
Usai majlis penutupan dan penyampaian hadiah, kami membawa murid-murid kami menikmati perjalanan di Kuala Lumpur menaiki train yang acapkali diceritakan dalam kelas. Malamnya, kami bersiap untuk pulang pada keesokan hari. Perjalanan jauh itu terasa ringan kerana hati masih dibuai kegembiraan. Aku fikir, malam nanti aku boleh berehat, menyimpan tenaga untuk hari-hari seterusnya.
Aku tersentak. Dunia yang tadi terasa cerah tiba-tiba kelam. Pedal minyak yang ditekan, serasa tidak bergerak. Penat perjalanan dari Kuala Lumpur hilang, diganti rasa terkejut dan kosong. Dan lebih sakit, aku tak dapat pulang ke kampung untuk tengok Tok buat kali terakhir.
Inilah dugaan anak rantau. Kena bersedia menerima berita yang menyakitkan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.
Dada aku rasa sebak. Perit. Nak menangis, tapi air mata tak keluar. Tahukah rasa sesak tu? Malamnya, aku sendiri di dalam bilik sambil merenung siling. Menunggu jiran dan rakan-rakan yang ada di kampung untuk memberi update tentang proses pengebumian Tok Kiah. Terima kasih kawan-kawan yang ada dari awal hingga selesai.
Kenangan bersama Tok Kiah mula datang satu-persatu. Hangat tangannya mengusap tangan aku buat kali terakhir semasa raya yang lepas masih terasa. Redup pandangan matanya masih ku ingat.
Aku hanya mampu mengirim doa dari jauh. Di saat keluarga di kampung mengiringan perjalanan terakhir Tok Kiah ke rumah barunya, aku mengiringinya dengan air mata dan bacaan Yasin jauh di Sabah ini. Ada perit yang tak dapat diungkap, perit menerima hakikat bahawa kadangkala, perpisahan datang sebelum kita sempat mengucapkan selamat tinggal.
"Tidak ada kata-kata yang mampu menyembuhi luka situasi anak perantau yang macam ni. Semoga Allah terus kuatkan diri untuk berbakti demi anak bangsa dan agama."
Masih aku setia menatap gambar dan video kiriman dari kawan-kawan.
"Ya Allah, Terima kasih kerana telah pinjamkan Tok Kiah selama ini. Ampunkan dia, rahmati dia, lapangkan kuburnya. Temukan kami di syurgaMu nanti."
Sesiapa yang mengenali aku, dia pasti akan kenal Tok Kiah. Dialah orang yang membesarkan kami adik-beradik selama berapa puluh tahun kami hidup. Tok Kiah ada tempat yang istimewa dalam hati kami. Di saat mama dan arwah abah sedang berjuang untuk mencari rezeki untuk anak-anak mereka, Tok Kiah la insan yang menjaga kami sedar tapak kaki sebesar dua jari. Tok Kiah jugalah yang mencurahkan kasih sayangnya tanpa sempadan. Tok Kiah lah yang mengajarkan kami erti hidup.
Hidup ini penuh kejutan. Kadang-kadang kita berdiri di pentas kemenangan, kadang-kadang kita terduduk di lantai kehilangan. Kedua-duanya mengajar aku satu perkara: semua perjalanan akhirnya menuju pulang -- kepada Dia.
No comments:
Post a Comment